Selasa, 24 November 2015

Kepentingan Pendidikan Yang Berkualiti Di Malaysia

Sblm penulisan

Pendidikan berkualiti mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. pendidikan serantau dapat memajukan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, beberapa buah universiti penyelidikan di negara kita bertungkus lumus untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Hasil daripada penyelidikan tersebut, banyak sektor tempatan dapat dimajukan dari semasa ke semasa. Oleh itu, terbuktilah bahawa pendidikan yang berkualiti berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai hab pendidikan serantau sekali gus dapat memajukan pendidikan negara. Seterusnya, ekonomi negara dapat ditingkatkan hasil daripada pendidikan yang berkualiti. Perkara ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar dari luar negara akan memilih universiti tempatan untuk menyambung pengajian mereka. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan pengaliran wang asing ke negara kita.
Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga dapat melahirkan banyak tenaga pakar di negara kita. Pendidikan berkualiti dapat memberikan banyak kemahiran dan taraf pendidikan yang baik setanding dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara yang maju. Sebagai contohnya, penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap berupaya untuk memberikan banyak teknik pengajaran kepada para pelajar seterusnya dapat meningkatkan kemahiran mereka. Melalui kemahiran yang dimiliki, mereka boleh menjadi golongan pakar yang dapat membangunkan banyak sektor di negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan berkualiti mampu melahirkan banyak tenaga pakar.

Akhir sekali, pendidikan yang berkualiti dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara negara kita dengan negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pendidikan berkualiti mampu menyediakan pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju. Sebagai contoh, negara kita telah mengadakan program pertukaran pelajar tempatan dengan pelajar dari UK. Melalui program ini, para pelajar dapat melibatkan diri mereka dengan pelbagai bentuk perkongsian pintar yang lain. Hasilnya, akan wujudlah  daya saing yang baik antara Malaysia dengan negara tersebut.  Kesimpulannya, mutu pendidikan sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab perlulah berusaha untuk mewujudkan pendidikan yang berkualiti di negara kita.            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan