Selasa, 24 November 2015

Kepentingan Pendidikan Yang Berkualiti Di Malaysia

Sblm penulisan

Pendidikan berkualiti mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. pendidikan serantau dapat memajukan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, beberapa buah universiti penyelidikan di negara kita bertungkus lumus untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Hasil daripada penyelidikan tersebut, banyak sektor tempatan dapat dimajukan dari semasa ke semasa. Oleh itu, terbuktilah bahawa pendidikan yang berkualiti berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai hab pendidikan serantau sekali gus dapat memajukan pendidikan negara. Seterusnya, ekonomi negara dapat ditingkatkan hasil daripada pendidikan yang berkualiti. Perkara ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar dari luar negara akan memilih universiti tempatan untuk menyambung pengajian mereka. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan pengaliran wang asing ke negara kita.
Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga dapat melahirkan banyak tenaga pakar di negara kita. Pendidikan berkualiti dapat memberikan banyak kemahiran dan taraf pendidikan yang baik setanding dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara yang maju. Sebagai contohnya, penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap berupaya untuk memberikan banyak teknik pengajaran kepada para pelajar seterusnya dapat meningkatkan kemahiran mereka. Melalui kemahiran yang dimiliki, mereka boleh menjadi golongan pakar yang dapat membangunkan banyak sektor di negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan berkualiti mampu melahirkan banyak tenaga pakar.

Akhir sekali, pendidikan yang berkualiti dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara negara kita dengan negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pendidikan berkualiti mampu menyediakan pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju. Sebagai contoh, negara kita telah mengadakan program pertukaran pelajar tempatan dengan pelajar dari UK. Melalui program ini, para pelajar dapat melibatkan diri mereka dengan pelbagai bentuk perkongsian pintar yang lain. Hasilnya, akan wujudlah  daya saing yang baik antara Malaysia dengan negara tersebut.  Kesimpulannya, mutu pendidikan sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab perlulah berusaha untuk mewujudkan pendidikan yang berkualiti di negara kita.            

Rabu, 11 November 2015

Isu kesihatan: Penyakit denggi

Sblm Penghantar Penulisan

Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini. Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes. Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar. 

Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu demam denggi klasikal, Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever' dan demam denggi berdarah. Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'. Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk Aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit.


Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.