Selasa, 24 November 2015

Kepentingan Pendidikan Yang Berkualiti Di Malaysia

Sblm penulisan

Pendidikan berkualiti mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. pendidikan serantau dapat memajukan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, beberapa buah universiti penyelidikan di negara kita bertungkus lumus untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Hasil daripada penyelidikan tersebut, banyak sektor tempatan dapat dimajukan dari semasa ke semasa. Oleh itu, terbuktilah bahawa pendidikan yang berkualiti berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai hab pendidikan serantau sekali gus dapat memajukan pendidikan negara. Seterusnya, ekonomi negara dapat ditingkatkan hasil daripada pendidikan yang berkualiti. Perkara ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar dari luar negara akan memilih universiti tempatan untuk menyambung pengajian mereka. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan pengaliran wang asing ke negara kita.
Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga dapat melahirkan banyak tenaga pakar di negara kita. Pendidikan berkualiti dapat memberikan banyak kemahiran dan taraf pendidikan yang baik setanding dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara yang maju. Sebagai contohnya, penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap berupaya untuk memberikan banyak teknik pengajaran kepada para pelajar seterusnya dapat meningkatkan kemahiran mereka. Melalui kemahiran yang dimiliki, mereka boleh menjadi golongan pakar yang dapat membangunkan banyak sektor di negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan berkualiti mampu melahirkan banyak tenaga pakar.

Akhir sekali, pendidikan yang berkualiti dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara negara kita dengan negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pendidikan berkualiti mampu menyediakan pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju. Sebagai contoh, negara kita telah mengadakan program pertukaran pelajar tempatan dengan pelajar dari UK. Melalui program ini, para pelajar dapat melibatkan diri mereka dengan pelbagai bentuk perkongsian pintar yang lain. Hasilnya, akan wujudlah  daya saing yang baik antara Malaysia dengan negara tersebut.  Kesimpulannya, mutu pendidikan sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab perlulah berusaha untuk mewujudkan pendidikan yang berkualiti di negara kita.            

Rabu, 11 November 2015

Isu kesihatan: Penyakit denggi

Sblm Penghantar Penulisan

Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini. Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes. Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar. 

Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu demam denggi klasikal, Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever' dan demam denggi berdarah. Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'. Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk Aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit.


Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.


Rabu, 7 Oktober 2015

TENTANG DIRI SAYA

Disini saya memulakan pembuka bicara dengan memperkenalkan diri dan tentang perihal diri saya. Nama saya ialah Crie Carollisa Rindum, dilahirkan pada 28 September di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu Sabah, merupakan anak pertama dari dua beradik, menetap dan dibesarkan di sebuah daerah kecil yang dikenali sebagai Pekan Tamparuli. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat sederhana.

Dalam bidang akademik pula, saya berasa cukup bertuah kerana mendapat pengalaman untuk merasai suasana sekolah yang berbeza. Saya mendapat pengajian awal di Sekolah Rendah Advent Tamparuli, iaitu sekolah mubaligh Kristian yang berbentuk keagamaan dan merupakan sekolah persendirian. Seterusnya saya melanjutkan pengajian menengah Rendah saya di Sekolah Menengah Advent Tamparuli dan menamatkan peperiksaan penilaian menengah rendah (PMR) dengan memperoleh keputusan yang cukup baik, dengan berbekalkan keputusan PMR, Saya telah melanjutkan pelajaran Menengah tinggi saya di Sekolah Menengah kebangsaan Sungai Damit, Tamparuli dan Berjaya menamatkan sijil pengajian tinggi (SPM) dengan keputusan yang baik. Saya menyambung pengajian dengan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli dan dengan keputusan yang saya perolehi, saya telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi iaitu dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian program Universiti Utara Malaysia di Kolej Teknologi Alpha Seremban di Negeri Sembilan.

Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan yang tersendiri. 

Saya mempunyai kelebihan dari segi mengingati lirik lagu dan boleh menghafal lirik tersebut hanya dalam sehari, dan melalui kelebihan itu juga, saya boleh mengetahui dan cepat mempelajari bahasa asing seperti Filipina, Indonesia, Jepun, Korea dan sebagainya. Disebabkan minat yang mendalam dalam menghayati dan menghafal lirik lagu, saya lebih mengetahui sifat-sifat manusia dan mudah membaca tingkah laku dan perlakuan mereka sama ada mereka selesa atau tidak semasa berkomunikasi dengan saya. Dengan kelebihan itu juga, kawan-kawan terdekat saya lebih suka untuk meminta pendapat dalam hal-hal yang berkaitan tentang masalah yang mereka hadapi. Saya juga boleh menghabiskan buku bacaan yang berkaitan dengan psikologi manusia hanya dalam sehari dan gemar memotivasikan diri sendiri dengan membaca bahan-bahan bacaan yang berkaitan tentang kehidupan.